Ketahui Kisah Di Sebalik 5 Rumah Warisan Melayu Terletak Di Bandaraya Kuching

Rumah Warisan

Bandaraya Kuching kaya dengan bangunan bersejarah yang berusia puluhan tahun. Ianya juga turut menyimpan 1001 kisah disebaliknya. Namun di sini juga terdapat beberapa monumen hasil daripada warisan melayu yang tidak ramai ketahui.

Monumen bersejarah antara salah satu warisan peninggalan yang perlu dipelihara kerana ia merupakan bukti fizikal tentang sejarah sesuatu peristiwa dan membawa identiti budaya masing-masing di sebalik reka bentuk bangunan yang dihasilkan. Di Bandaraya Kuching terdapat beberapa monumen bersejarah yang masih kekal sehingga kini dan anda boleh lihat sendiri keunikan yang terdapat pada setiap bangunan.

Di sini kami akan cungkil-kan kisah dan sejarah di sebalik bangunan-bangunan warisan Melayu yang terdapat di bandar ini, antaranya ialah:

1. Rumah Warisan Darul Maziah

Rumah Warisan ini telah dibina pada akhir tahun 1880an oleh pegawai rasmi Rajah Putih ketiga Datu Bentara Abang Haji Hashim bin Arif. Ia telah tersenarai sebagai bangunan warisan Melayu pada tahun 2015. Rumah ini merupakan hasil tangan tukang Melayu dan diperbuat daripada kayu besi serta dihiasi ukiran kayu berinspirasikan Moorish.

Pada suatu ketika dahulu sebelum Sarawak diserahkan kepada kerajaan Kolonial British, Darul Maziah pernah beroperasi sebagai pejabat bagi gerakan Anti-Penyerahan. Gerakan Anti Penyerahan Sarawak ialah sebuah gerakan di Sarawak untuk menentang usaha British untuk mentadbir Sarawak sebagai tanah jajahan mahkota dan bukan sebuah negeri naungan diperintah oleh Raja Putih. Pergerakan itu berlangsung mulai 1 Julai 1946 hingga Mac 1950.

Monumen ini telah berusia hampir 130 tahun dan didiami oleh generasi yang ketujuh iaitu Abang Sahari Jaya dan beliau adalah merupakan cucu kepada Datuk Bentara Abang Haji Hashim.

Sumber: Laman web Sarawak Heritage Society

2. Rumah Tan Sri Ahmad Abang Ahmad Urai

Rumah warisan ini begitu unik sekali kerana reka bentuk rumah ini begitu mewah dengan mengenakan gaya istana Melayu. Rumah ini telah dibina oleh Tan Sri Abang Ahmad Urai. Beliau merupakan ahli politik veteran iaitu pernah berkhidmat sebagai presiden senat di parlimen sekitar tahun 1980-an.

Reka bentuk bumbung berinspirasikan gerbang Minangkabau dengan ukiran halus di setiap sisi menaikkan lagi keserian rumah ini. Seterusnya pada bahagian tengah bumbungnya terdapat suatu ukiran berbentuk keris yang menghala kearah langit ianya disebut sebagai Keris Tunjuk Langit. Ia memberi makna disebaliknya iaitu ia menunjukkan kepada kepercayaan terhadap tuhan yang Maha Esa.

Selain itu rumah ini juga turut mempunyai halaman rumah dan dewan yang luas untuk kegunaan umum seperti majlis keramaian dan aktiviti agama. Justeru itu, ia telah membuatkan rumah ini begitu gah dan tersergam indah yang boleh dilihat di sini.

Sumber: Old Kuching Kampung Heritage

3. Darul Kurnia

Rumah agam Darul Kurnia terletak di Jalan Haji Taha telah dibina lebih kurang 91 tahun yang lalu iaitu sekitar tahun 1930-an. Rumah ini telah dibina oleh Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah yang merupakan patriot kemerdekaan Sarawak dan lebih dikenali sebagai penaraju bagi Gerakan Anti-Penyerahan yang menentang empayar British.

Seterusnya rumah ini juga turut menyimpan begitu besar sejarah di mana ia telah menyaksikan acara 338. Pada acara 338 ratusan kakitangan awam telah meletakkan jawatan secara beramai-ramai menunjukkan protes terhadap pihak British dengan mengikuti Gerakan Anti-penyerahan.

Setelah Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah telah meninggal dunia pada tahun 1946 rumah ini kemudiannya dijual kepada seorang lelaki Cina yang bernama Ong Kwan Hin. Pada tahun 1972 Darul Kurnia diserahkan kepada Lembaga Amanah Komuniti Masyarakat Cina Sarawak.

Kini, Darul Kurnia menjadi premis bagi Sekolah Menengah Chung Hua No.4.

Sumber: Sarawak Voice

4. Rumah Warisan Datuk Bandar Abang Haji Kassim

Rumah ini terletak di Kampung Masjid dan dikatakan merupakan rumah Melayu pertama yang dibina dengan menggunakan batu bata dan konkrit pada sekitar tahun 1863. Rumah agam ini dibina oleh Datuk Bandar Kuching iaitu Datuk Bandar Abang Haji Kassim. Meskipun rumah ini telah berusia hampir 158 tahun namun begitu rumah ini tetap utuh berdiri sehingga kini. Sesuai dengan kebesaran kapasiti rumah ini ia dikatakan mampu memuatkan 20 buah keluarga pada satu masa.

Sumber: Old Kuching Kampung Heritage

5. Madrasah Orang Melayu Islam / Sekolah Rendah Rakyat

Rumah sederhana ini kelihatan seperti rumah kampung yang biasa kita temui namun tahukah anda ia menyimpan sejarah yang amat besar untuk penduduk kampung di Kuching. Ini kerana rumah ini merupakan Madrasah Orang Melayu Islam atau lebih dikenali sebagai Sekolah Rendah Rakyat. Ia didirikan sebagai institusi pembelajaran untuk anak-anak kampung di mana kawasan sekolah sebelum itu telah dirobohkan.

Justeru, rumah ini menjadi pusat pendidikan awal bagi kebanyakan pemimpin-pemimpin di sini. Malahan tenaga pengajar di sekolah ini terdiri daripada golongan yang ternama seperti Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Cikgu Midai Zakaria, Cikgu Annuar Abdul Razak dan Fatimah Dahari.

Struktur rumah ini mempunyai ciri seni bina tradisional Melayu di mana kita boleh melihat bumbungnya yang besar dan tingkapnya yang tinggi ia bertujuan sebagai ruang udara supaya dapat menyejukkan rumah.

Kini, rumah warisan ini dihuni oleh Hajah Aminah yang merupakan pewaris yang ada sekarang.

Sungguh unik rumah warisan Melayu yang terdapat di Bandaraya Kuching, bagi generasi muda pasti ramai yang tidak mengetahui cerita dan sejarah di sebalik bangunan tersebut.

Menerusi inisiatif OKSHE anda boleh mengetahui lebih lanjut mengenai warisan dan sejarah jarang diketahui yang terdapat di Bandaraya ini.

Sila klik pautan dibawah untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sejarah warisan Melayu: https://youtu.be/EzWNomFCOzY

5 1 vote
Article Rating
Website | + posts

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x
%d bloggers like this: